Tuesday, August 17, 2010

Stesen Seorang Mukmin



Bismillah..
Sepanjang Ramadhan ini sungguh menggembirakan kita bila melihat betapa makmurnya rumah Allah pada malam hari, kecil besar, lelaki perempuan, tua dan muda semuanya bersemangat datang bertamu di surau-surau dan masjid, terutamanya di bandar-bandar besar umpama KL dsb.nya.

Tanpa sedar satu rahsia diri kita terbongkar. Apa dia? Selama ini kalau bulan-bulan lain kenapa payah sangat kita nak kunjungi rumah Allah? Tiba-tiba di bulan Ramadhan, semua kita "All out" pakat-pakat datang, maknanya kita ni semua mampu mengendalikan diri kita untuk mewaqafkan sebahagian waktu kita untuk men"clear"kan hubungan dengan tuhan pencipta kita.

Apa jawapan kita bila berdepan dengan Allah di akhirat nanti bila diajukan soalan "Kenapa payah sangat kita untuk bertamu di rumah Allah selama ini? Bukankah Allah sentiasa membuka rumahnya untuk dikunjungi sepanjang tahun?"

Bukan soal pahala dan ganjaran Allah sahaja yang membuatkan kita datang,tetapi sedarkah kita Pemilik Rumah itu adalah raja segala raja, yang amat pemurah bahkan amat pemaaf... hebat sangatkah kita hingga tidak mempedulikan jemputan Allah, Dia yang hendak sangat memberi kepada kita sedang kita amat sombong seolah-olah apa yang Allah nak bagi itu tiada harganya bagi diri kita...Masya Allah!!!

Masjid dan surau bukan sekadar tempat mengagihkan pahala,akan tetapi itulah tempat yang segala-galanya bagi kita, tempat pembentukan peribadi (Kolej Amali), tempat kongsi "Give n Take" kemasyarakatan, bahkan yang utamanya masjid adalah pencetus kebangkitan Islam akhir zaman yang kita nanti-nantikan.
Rugilah kita kalau tempat lain sering kita kunjungi, pasaraya, kedai makan dan lain-lain tapi ke masjid tidak pula begitu. Sekali seminggu bukan suatu yang boleh dibanggakan tapi yang menanti kita ialah suatu janji nabi"golongan yang terlepas dari hiruk pikuk mahsyar "Lelaki yang hatinya seolah-olah tergantung di masjid-masjid"

Wednesday, August 4, 2010

Ramadhan Pakej Kursus


Bismillah...
Ramadhan jangan hanya dipandang sebagai bulan fadhilat, tapi juga hendaklah kita merasakan Ramadhan itu sebagai pakej latihan dari Rabbul Jalil untuk melahirkan pelatih yang mahir dan berkeupayaan menghadapi mehnah dan tribulasi dalam perjuangan..Dr Mustafa Mashur menulis sebuah kitab berjodol "Bekalan sepanjang jalan"wajar menjadi tatapan kita semua.

Apakah penghasilan yang kita nak daripada Ramadhan?..tentu jawapannya ialah sifat-sifat hati umpama ikhlas,tawadhu',sabar,lemah lembut,istiqamah dan lain-lain lagi. Kita akan bicarakan sifat-sifat itu secara berasingan insya Allah sepanjang Ramadhan kali ini, Mudah-mudahan Allah menganugerahkan kefahaman dan kekuatan kepada kita semua untuk menghayati perbicaraan ini..
  1. Ikhlas:
Hadis Baginda "Setiap amalan anak Adam itu ada balasan baginya kecuali puasa,maka sesungguhnya puasa itu aku yang ganjarinya mengikut kehendakku.."

Hadis ini membuktikan bahawa pengukuran ganjaran bagi orang yang berpuasa adalah terletak kepada Allah sepenuhnya dan sudah tentu berkait rapat dengan keikhlasan si pelaksananya.

Ibadat puasa adalah satu ibadah yang jauh berbeza berbanding ibadah yang lain,di mana ibadah itu sendiri tidak kelihatan pada batang tubuh orang yang berpuasa,tidak seperti solat di mana orang boleh nampak perilaku orang yang sedang bersolat. Begitu juga seseorang itu boleh sahaja berpura-pura konon sedang berpuasa (orang lain tidak mengetahui) Tapi Allah yang mencampakkan keimanan ke dalam sanubari kita menjadikan kita tidak bersedia untuk menipu sesiapa pun bahawa kita berpuasa meskipun kita makan dan minum di siang hari.

Allah mahu kita faham bahawa begitulah sepatutnya kita jiwai dalam apa sahaja tindak tanduk seharian kita.Apa yang menjadi matlamat kita ialah pemerhatian Allah (Bukan Makhluk) biarpun kita terpaksa bersusah..(Kerana Allah)Mengutamakan dan memperjuangkan produk halal sebenarnya tidak mudah terutamanya di ketika tidak banyak sangat orang memahami persoalan ini.Tapi kerana kita sudah terbiasa dengan ber"Muraqabah" biarpun payah nak jumpa produk Halal kita sanggup berpuasa hinggalah berjumpa jua akhirnya..Lama mana kita berpuasa Ayam,Ais krim,biskut dan lain-lain hinggalah kita menemuinya dalam perjuangan ini.Alhamdulillah...Banyak lagi sebenarnya yang kita kena berpuasa (Umpama susu anak-anak,coklat,fishball dan lain-lain) tapi sanggupkah kita menunggu dan terus menunggu demi semata-mata mencari keredhaan Allah??

Monday, August 2, 2010

Allah Menjaga Kita

Bismillah...
Ramadhan bakal menjelang sedikit hari lagi semoga kita diizinkan Allah untuk mengharungi Madrasah Rabbaniah ini."Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban,panjangkan usia kami hingga menemui Ramadhan..."

Menjiwai ayat 37 &38 surah Annur membuatkan kita matang dalam perjuangan ini,tahu sempadan dan halatuju kehidupan sebagai seorang Hamba Allah yang dikurniakan peluang berbisness.
Allah yang empunya semua anugerah ini mengingini kita yang berniaga tidak sampai terlalai dari
(1)Zikir (ingatkan juga perintah dan larangannya)
(2)Solat
(3)Zakat
(4)Rasa gerun pada akhirat

Berapa ramaikah kalangan kita menyematkan ingatan ini dihati bahkan juga melaksanakannya dalam kehidupan seharian?

Kenapa solat ditonjolkan di sini?Apakah kerana memang ramai orang berniaga yang mengabaikan solat?Atau kerana Allah ingin menonjolkan peranan solat itu sendiri yang menjadi keperluan kita?

Semua kita akur menerima bahawa kita berbisness adalah sebagai salah satu cabang ibadah,kita nak jadi seperti Suhaib yang berjaya mendapat pujian nabi lantaran kerana keterlibatan dia dalam bisness yang akhirnya menjadi ibadatnya yang menguntungkan.Kita ingin mencontohi Saiyyidina Uthman yang semua orang akui sumbangannya yang tak terhingga untuk Ummah.Tapi ingat penerimaan dan penolakan Allah terhadap ibadat bisness ini bergantung erat pada penolakan dan penerimaan ibadat solat..baik solat maka baik lah ibadat bisness tapi rosak solat rosaklah ibadat bisnees..

Jangan mengharapkan ganjaran dari ibadat bisness kalau ibadat solat tidak dijagai,tidak ikhlas,tidak khusyuk bahkan tidak sempurna.

Teman-teman sekelian!!siapakah dapat memahami kenapa dalam bulan Ramadhan Allah menetapkan antara pengisiannya ialah solat.Jumlah rakaatnya bertambah berbanding bulan-bulan yang lain.Kebanyakkan orang merasa berat hati bila menyedari satu-satu waktu solat yang tiba,terasa seolah-olah solat itu sebagai beban yang menyibukkan.

Hikmah banyaknya solat dalam Ramadhan ialah untuk membiasakan seorang hamba itu lalu sampai suatu tahap ia terasa solat itu suatu kerehatan,ketenangan bahkan suatu peluang membelai perasaan manja terhadap Allah..

Adulah apa sahaja yang engkau mahu Allah sedia mendengarnya,menangislah kerana Allah suka mendengar tangisanmu,mintalah apa sahaja yang terlintas Allah tidak pernah bosan menunaikannya..

Peningkatan demi peningkatan bonus yang kita alami,ia sebenarnya suatu ujian Allah untuk melihat setakat mana konsistennya kamu terhadapnya.Ada orang tidak sedar perkara ini,maka lalailah dia dari solat (kompas kerohanian) hingga akhirnya jelaslah di sisi Allah bahawa dia adalah seorang yang tidak boleh menangani kesenangan yang dikurniakan maka tidak mustahil akan diambil kembali oleh Allah apa yang telah diterima.
Ya Allah tetapkan pendirian kami terutama ketika saat begini yang mana kami teruji dengan kilauan harta dunia yang menipu...