Sunday, January 24, 2010

Fahami erti Perjuangan

Bismillah...
Biasa kita mendengar ungkapan "HPA adalah suatu perjuangan" dan sememangnya kita telah mengharunginya.Sedarkah kita apa yang dikatakan perjuangan?
Kekadang orang memahami erti perjuangan menurut perspektif peribadi serta menurut aklinya semata-mata.
Pemahaman kita terhadap perjuangan sewajarnya sama dengan perjuangan yang diertikan oleh agama..kalimah perjuangan menurut wahyu adalah "Jihad" iaitu memerah seluruh tenaga,masa dan harta untuk mencapai matlamat meninggikan kalimah Allah supaya tinggi daripada segala-galanya.
Terlibat dalam perjuangan ertinya tidak boleh main-main,acuh tak acuh atau mengikut mood kerana Allah menyaksikan semua tingkah laku kita dan dinilai untuk mengetahui siapa yang benar siapa yang bohong dalam iqrar syahadahnya.
Kita tidak boleh hanya berfikir "apa keuntungan yang kita dapat" sahaja tetapi yang mesti kita fikir "apa yang kita kena beri" untuk perjuangan ini.
Lama mana masa kita kena peruntukkan untuk perjuangan ini?Agama menegaskan "Dan sembahlah (berbaktilah) kepada tuhan hingga datang kepada engkau keyakinan (kematian).
Apa bekalan yang diperlukan dalam perjuangan ini?Quran perlu diadakan kekuatan dalam saff perjuangan itu sendiri.Dan ulama menafsirkan kekuatan itu pada 3 unsur penting "Aqidah,Ukhuwwah dan kebendaan @ kemahiran"
Siapa model kita untuk menjiwai perjuangan ini?Nabi-nabi,sahabat dan salafussoleh terdahulu.
Kesimpulannya setiap kita mesti memuhasabahkan diri sepanjang perjalanan ini kerana Syaitan sering saja kreatif untuk memesongkan kita agar tidak ramai yang berjaya keluar dari dunia ini sebagai Hamba Allah sebaliknya mereka keluar dan mengadap Allah sebagai hamba nafsu,hamba makhluk dan hamba Taghut...Waliazubillah..

Sunday, January 17, 2010

Sama-sama kita merenungi sajak ini;
Kita sebenarnya memilih jalan ini
kerana kita sangat pasti
jalan kita...
jalan kebenaran
jalan kita...
jalan perjuangan
bukan hanya bicara laba untuk dunia
yang lebih penting sebuah persiapan ke sana...

Persinggahan ini cuma sebentar
mungkin lebih pendek dari sehela nafas
tapi perjalanan sangat panjang
kerana penghujungnya juga tidak kelihatan...

Tersisih dari golongan kita
mereka yang ingin mencipta di atas hasil yang segera
sudah pasti sama sahaja
liku, lurah dan gunung
perlu dahulu dilaluinya...

Jika kita berhenti
pastikan untuk sekadar sahaja
hilang lelah... teruskan
meskipun kaki luka dan berdarah...

Inilah jalan kita...
yang menuntut seribu kekuatan di jiwa
jangan biarkan lemah menguasai diri
bangunlah berdiri dengan berani
sekali kita rebah...
seribu tahun kita akan terus berlari...

Cari penilaian Allah


Bismillah...
Aqidah adalah suatu anugerah mutlak dari Allah Taala yang tiada tolok banding nilainya..Dengan aqidah yang sahihah sahaja menjadikan segala perbendaharaan amal kita diambil kira dan mendapat nilaian Allah.Sekiranya aqidah tiada @ tidah sahihah nescaya hampa lah kita meskipun datang mengadap Allah dengan timbunan amal yang tinggi.
Semua Rakan Ibham wajib memastikan aqidah masing-masing sahihah melalui kehadiran ke kuliah-kuliah,mendekati ulama (yang menjadi cermin hidup kita) mahupun melalui pembacaan dan penelitian yang mendalam.
Menyedari peri pentingnya Aqidah ini,sewajarnya kita berfikir secara serius bagaimana untuk memperkasakannya sentiasa jua mempertahankannya dari luntur @ tercabut.Ambil iktibar dari kisah-kisah Quran seperti Bal'am Bin Ba'ura dan sebagainya.
Meneliti kisah Ashabul Kahfi,kisah tujuh rakan pemuda yang ditidurkan Allah selama 309 tahun kerana semata-mata mempertahankan Aqidah terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil.
-Bagaimana mereka sanggup bercerai tanggal dari kemewahan demi semata-mata mencari keredhaan Allah.Bersediakah kita menuruti mereka?
-Betapa mereka mempergunakan akal mereka semaksimanya untuk sampai kepada mengenali Allah.Kenapa kita tidak berdaya upaya untuk memanafaatkan akal untuk perkara yang sama?
-Perhatikan apa ucapan mereka ketika terasa lapar setelah bangkit dari tidur yang panjang.."...Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perak ini, dan hendaklah dia melihat manakah makanan yang lebih baik.."Sedarkah kita dari pemakanan memberi kekuatan @ sebaliknya boleh memberi kelemahan kepada kekuatan aqidah.
Akidah yang sahihah pasti akan memberi kesan kepada perilaku kita sebagaimana perumpamaan Allah.."Dan perumpamaan kalimah yang baik (Kalimah Tauhid) seumpama pohon yang baik (Subur dan rimbun),akarnya menunjang bumi manakala dahannya meninggi ke langit,sentiasa ia membuahkan hasil.."
Moga keterlibatan kita dalam perjuangan ini adalah kesan dari kita memilii aqidah yang sahihah @keterlibatan kita dalam perjuangan ini akan mencabar kita untuk berusaha memiliki aqidah yang sahihah.
"Wahai tuhan!jangan engkau palingkan hati kami setelah engkau menganugerahkan hidayah kepada kami,sesungguhnya engkau tuhan maha pemberi kurnia.."