Tuesday, December 21, 2010

PERKASAKAN DIRI

Bismillah..

Lama tidak berposting,maaf kerana terleka seketika..

2010 Masehi semakin menarik tirai 2011 mulai melabuh tirai..Mari bersama bermuhasabah setakat mana pencapaian setahun..Rasa bangga kah kita kerna masih istiqamah bersama perjuangan ini?atau mulai menurun perasaan itu lantaran terbawa-bawa sedikit sebanyak tribulasi yang terpandang sebagai kudis-kudis yang memalukan?

Firman Allah yang bermaqsud "Dan pasti kami kan menguji kamu dengan sedikit ujian (dlm bentuk) rasa takut,lapar dan kekurangan dr harta,jiwa dan buah-buahan..."renungilah ketetapan Allah ini.

Sebentar diberi Allah menjejaki kaki bumi yang pernah disabdakan Nabi "Iman itu ialah Yaman,dan Hikmah itu Yamaniah"..Benarlah pesanan Nabi bahawa "Para nabi itu tidak mewarisi harta dalam bentuk Dinar dan Dirham akan tetapi mereka mewariskan Ilmu,maka barangsiapa mengambilnya sesungguhnya dia telah mengambil bahagian yang lumayan".Perjuangan kita bukan semata kerna semangat permusuhan dengan sesiapa (yahudi & Nasrani) sebaliknya perjuangan ini adalah tawaran untuk berlumba mendapatkan khazanah ilmu Allah yang merupakan laut tidak bertepi.Siapa mencicirkan diri dari perlumbaan ilmu nescaya dia tidak akan dapat pergi lebih jauh bersama perjuangan ini.

Mentari 2011 diharapkan bakal mencerahi semua anggota D'Radix bersama perjuangan ini,fokuskan kerja masing-masing,letakkan target tertinggi untuk dicapai agar semua jentera D'Radix boleh menjadi kebanggaan perjuangan ini..Tingkatkan tahap keintelektualan masing-masing..

Monday, October 4, 2010

Bersyukurlah..

Bismillah...
Perasaan sebak menyapa hati kita semua memandang kepada betapa gahnya HPA ketika melancarkan menara kebanggaan HPAic hari tu.. Patutlah kita abadikan hari itu sebagai hari yang bersejarah.. Kenapa sebak? kerana hampir benar kita merasa benarnya sabda Nabi (Maksudnya) "Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya".

Percayalah kita semua sedang menuju ke situ cuma ingat pesanan Allah dalam surah An Nasr.."Apabila datang pertolongan Allah dan pembukaan(kota Mekah),engkau akan lihat manusia berbondong-bondong menganuti Islam (agama Allah -cara hidup),maka bertasbihlah dengan memuji tuhanmu dan beristighfarlah kepadanya,sesungguhnya Dia maha menerima taubat.."

Kenapa Allah memerintahkan kita melakukan 2 perkara ini? (Bertasbih dan beristighfar)

PERTAMA
kerana mengingatkan kita bahawa pencapaian kita itu Hanya datang dari Allah yang maha terpuji kita langsung tiada daya dan upaya. Nikmat yang kita dapat tidak sehebat nikmat kurniaan Allah kepada Nabi Sulaiman,namun ingatlah kata-kata Sulaiman ketika mengenang nikmat Allah kepada Baginda...

KEDUA
nak jaga nikmat ini bukan senang maka jalan mohon pertolongan Allah ialah melalui istighfar.Sabda Nabi "Barangsiapa melazimkan diri beristighfar maka Allah akan jadikan baginya jalan keluar dari sebarang kerumitan,keluasan selepas kesempitan dan rezki yang datang dari sumber yang tidak disangka-sangka"

Tuesday, August 17, 2010

Stesen Seorang Mukmin



Bismillah..
Sepanjang Ramadhan ini sungguh menggembirakan kita bila melihat betapa makmurnya rumah Allah pada malam hari, kecil besar, lelaki perempuan, tua dan muda semuanya bersemangat datang bertamu di surau-surau dan masjid, terutamanya di bandar-bandar besar umpama KL dsb.nya.

Tanpa sedar satu rahsia diri kita terbongkar. Apa dia? Selama ini kalau bulan-bulan lain kenapa payah sangat kita nak kunjungi rumah Allah? Tiba-tiba di bulan Ramadhan, semua kita "All out" pakat-pakat datang, maknanya kita ni semua mampu mengendalikan diri kita untuk mewaqafkan sebahagian waktu kita untuk men"clear"kan hubungan dengan tuhan pencipta kita.

Apa jawapan kita bila berdepan dengan Allah di akhirat nanti bila diajukan soalan "Kenapa payah sangat kita untuk bertamu di rumah Allah selama ini? Bukankah Allah sentiasa membuka rumahnya untuk dikunjungi sepanjang tahun?"

Bukan soal pahala dan ganjaran Allah sahaja yang membuatkan kita datang,tetapi sedarkah kita Pemilik Rumah itu adalah raja segala raja, yang amat pemurah bahkan amat pemaaf... hebat sangatkah kita hingga tidak mempedulikan jemputan Allah, Dia yang hendak sangat memberi kepada kita sedang kita amat sombong seolah-olah apa yang Allah nak bagi itu tiada harganya bagi diri kita...Masya Allah!!!

Masjid dan surau bukan sekadar tempat mengagihkan pahala,akan tetapi itulah tempat yang segala-galanya bagi kita, tempat pembentukan peribadi (Kolej Amali), tempat kongsi "Give n Take" kemasyarakatan, bahkan yang utamanya masjid adalah pencetus kebangkitan Islam akhir zaman yang kita nanti-nantikan.
Rugilah kita kalau tempat lain sering kita kunjungi, pasaraya, kedai makan dan lain-lain tapi ke masjid tidak pula begitu. Sekali seminggu bukan suatu yang boleh dibanggakan tapi yang menanti kita ialah suatu janji nabi"golongan yang terlepas dari hiruk pikuk mahsyar "Lelaki yang hatinya seolah-olah tergantung di masjid-masjid"

Wednesday, August 4, 2010

Ramadhan Pakej Kursus


Bismillah...
Ramadhan jangan hanya dipandang sebagai bulan fadhilat, tapi juga hendaklah kita merasakan Ramadhan itu sebagai pakej latihan dari Rabbul Jalil untuk melahirkan pelatih yang mahir dan berkeupayaan menghadapi mehnah dan tribulasi dalam perjuangan..Dr Mustafa Mashur menulis sebuah kitab berjodol "Bekalan sepanjang jalan"wajar menjadi tatapan kita semua.

Apakah penghasilan yang kita nak daripada Ramadhan?..tentu jawapannya ialah sifat-sifat hati umpama ikhlas,tawadhu',sabar,lemah lembut,istiqamah dan lain-lain lagi. Kita akan bicarakan sifat-sifat itu secara berasingan insya Allah sepanjang Ramadhan kali ini, Mudah-mudahan Allah menganugerahkan kefahaman dan kekuatan kepada kita semua untuk menghayati perbicaraan ini..
  1. Ikhlas:
Hadis Baginda "Setiap amalan anak Adam itu ada balasan baginya kecuali puasa,maka sesungguhnya puasa itu aku yang ganjarinya mengikut kehendakku.."

Hadis ini membuktikan bahawa pengukuran ganjaran bagi orang yang berpuasa adalah terletak kepada Allah sepenuhnya dan sudah tentu berkait rapat dengan keikhlasan si pelaksananya.

Ibadat puasa adalah satu ibadah yang jauh berbeza berbanding ibadah yang lain,di mana ibadah itu sendiri tidak kelihatan pada batang tubuh orang yang berpuasa,tidak seperti solat di mana orang boleh nampak perilaku orang yang sedang bersolat. Begitu juga seseorang itu boleh sahaja berpura-pura konon sedang berpuasa (orang lain tidak mengetahui) Tapi Allah yang mencampakkan keimanan ke dalam sanubari kita menjadikan kita tidak bersedia untuk menipu sesiapa pun bahawa kita berpuasa meskipun kita makan dan minum di siang hari.

Allah mahu kita faham bahawa begitulah sepatutnya kita jiwai dalam apa sahaja tindak tanduk seharian kita.Apa yang menjadi matlamat kita ialah pemerhatian Allah (Bukan Makhluk) biarpun kita terpaksa bersusah..(Kerana Allah)Mengutamakan dan memperjuangkan produk halal sebenarnya tidak mudah terutamanya di ketika tidak banyak sangat orang memahami persoalan ini.Tapi kerana kita sudah terbiasa dengan ber"Muraqabah" biarpun payah nak jumpa produk Halal kita sanggup berpuasa hinggalah berjumpa jua akhirnya..Lama mana kita berpuasa Ayam,Ais krim,biskut dan lain-lain hinggalah kita menemuinya dalam perjuangan ini.Alhamdulillah...Banyak lagi sebenarnya yang kita kena berpuasa (Umpama susu anak-anak,coklat,fishball dan lain-lain) tapi sanggupkah kita menunggu dan terus menunggu demi semata-mata mencari keredhaan Allah??

Monday, August 2, 2010

Allah Menjaga Kita

Bismillah...
Ramadhan bakal menjelang sedikit hari lagi semoga kita diizinkan Allah untuk mengharungi Madrasah Rabbaniah ini."Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban,panjangkan usia kami hingga menemui Ramadhan..."

Menjiwai ayat 37 &38 surah Annur membuatkan kita matang dalam perjuangan ini,tahu sempadan dan halatuju kehidupan sebagai seorang Hamba Allah yang dikurniakan peluang berbisness.
Allah yang empunya semua anugerah ini mengingini kita yang berniaga tidak sampai terlalai dari
(1)Zikir (ingatkan juga perintah dan larangannya)
(2)Solat
(3)Zakat
(4)Rasa gerun pada akhirat

Berapa ramaikah kalangan kita menyematkan ingatan ini dihati bahkan juga melaksanakannya dalam kehidupan seharian?

Kenapa solat ditonjolkan di sini?Apakah kerana memang ramai orang berniaga yang mengabaikan solat?Atau kerana Allah ingin menonjolkan peranan solat itu sendiri yang menjadi keperluan kita?

Semua kita akur menerima bahawa kita berbisness adalah sebagai salah satu cabang ibadah,kita nak jadi seperti Suhaib yang berjaya mendapat pujian nabi lantaran kerana keterlibatan dia dalam bisness yang akhirnya menjadi ibadatnya yang menguntungkan.Kita ingin mencontohi Saiyyidina Uthman yang semua orang akui sumbangannya yang tak terhingga untuk Ummah.Tapi ingat penerimaan dan penolakan Allah terhadap ibadat bisness ini bergantung erat pada penolakan dan penerimaan ibadat solat..baik solat maka baik lah ibadat bisness tapi rosak solat rosaklah ibadat bisnees..

Jangan mengharapkan ganjaran dari ibadat bisness kalau ibadat solat tidak dijagai,tidak ikhlas,tidak khusyuk bahkan tidak sempurna.

Teman-teman sekelian!!siapakah dapat memahami kenapa dalam bulan Ramadhan Allah menetapkan antara pengisiannya ialah solat.Jumlah rakaatnya bertambah berbanding bulan-bulan yang lain.Kebanyakkan orang merasa berat hati bila menyedari satu-satu waktu solat yang tiba,terasa seolah-olah solat itu sebagai beban yang menyibukkan.

Hikmah banyaknya solat dalam Ramadhan ialah untuk membiasakan seorang hamba itu lalu sampai suatu tahap ia terasa solat itu suatu kerehatan,ketenangan bahkan suatu peluang membelai perasaan manja terhadap Allah..

Adulah apa sahaja yang engkau mahu Allah sedia mendengarnya,menangislah kerana Allah suka mendengar tangisanmu,mintalah apa sahaja yang terlintas Allah tidak pernah bosan menunaikannya..

Peningkatan demi peningkatan bonus yang kita alami,ia sebenarnya suatu ujian Allah untuk melihat setakat mana konsistennya kamu terhadapnya.Ada orang tidak sedar perkara ini,maka lalailah dia dari solat (kompas kerohanian) hingga akhirnya jelaslah di sisi Allah bahawa dia adalah seorang yang tidak boleh menangani kesenangan yang dikurniakan maka tidak mustahil akan diambil kembali oleh Allah apa yang telah diterima.
Ya Allah tetapkan pendirian kami terutama ketika saat begini yang mana kami teruji dengan kilauan harta dunia yang menipu...

Monday, July 26, 2010

Bismillah...
Semalam berlalu detik keemasan yang ramai orang alpa untuk memanfaatkannya sebagaimana pernah Baginda bersabda.Detik tengah malam Nisfu Syaaban,saat yang maqbul doa hingga pernah diriwayatkan Baginda sujud pada malam itu terlalu lama membuatkan Aisyah Radiallahuanha tertanya-tanya mengapa Baginda begitu lama sujud.Doa Baginda ketika itu"Ya Allah aku berlindung dengan redhaMu daripada kemurkaanMu,kemaafan dari hukumanMu..."

Siapakah antara kita berjaya mengisi saat itu dengan Qiam,doa dan istighfar?

Kenapa tidak ramai mempunyai kesungguhan untuk merebut saat itu?Walhal dalam kehidupan seharian biasa benar kita menyatakan keinginan untuk mencari keredhaan Allah.

Seorang sahabat menanyakan Baginda mengenai orang yang tidur hingga ke subuh dan tak berjaya bangkit di tengah malam.Baginda mendedahkan puncanya..."Orang itu telah dikencing oleh Syaitan.."Masya Allah..!!
Setakat penelitian rambang ana,rakan-rakan nampaknya sudah ada yang terbiasa dengan solat Dhuha..mari kita beranjak menambahkan koleksi taqarrub kita iaitu dengan belajar mulazamah Qiamullail...Mari kita sama-sama mencedok rahmat Allah pada saat yang hening di ketika orang lain sedang dibuai lena..
Kejernihan hati pasti akan menjadi salah satu sumber kekuatan kita semua dan daripada hati yang jernih itu akan bakal menyusul sifat-sifat lain umpama sabar,tenang,tawadhuk,rindu pada Sang Khaliq,berani dan lain-lain.

Sifat-sifat itu merupakan pakaian seorang pejuang dulu,kini dan selamanya. Selama ini mungkin hanya PBC menolong kita untuk bangkit,moga setelah sekian lama kita ber"PBC" selain pangkat dan bonus meningkat,keimanan dan ketaqwaan pun turut sama.

Wednesday, July 14, 2010

Mulakan Perubahan Dari Sekarang



Bismillah...
Ingatan buat semua dari Nabi suatu doa"Ya Allah berkatilah kami pada bulan rejab dan syaaban,dan sampaikan umur kami dengan bulan Ramadhan"..Sedia kita maklum bahawa 3 bulan yang disebutkan dalam doa nabi tadi adalah antara bulan yang mendapat layanan berbesa istimewanya oleh nabi berbanding bulan lain...Khasiat dan fadhilat yang tidak terhingga membuatkan kita tidak sepatutnya melepaskan ia pergi begitu saja..
Untuk apa kita berjuang bersama HPA selama ini? kalau tidak untuk keselamatan dunia akhirat kita bukan..?Dengan bekas-bekas hati kita yang insya allah bersih kerana memastikan sumber yang bersih sepatutnya melahirkah ghirah yang tinggi untuk mendekatkan diri kepadaNya..
Menjaga rezki daripada sumber yang halal adalah muqadimah kepada jalan menuju Allah,lalu apakah cukup sekadar itu?TIDAK!!!suatu lagi kerja kita ialah "Attahalli"iaitu memasukkan sifat-sifat yang mulia ke dalam diri (di antara caranya ialah mujahadah kita dengan melakukan amalan amalan kerohanian secara berterusan)..Inilah saatnya yang terbaik untuk permulaan,yang mana mungkin bulan-bulan yang lain payah nak menjadi.
Mari kita hayati ketiga-tiga bulan ini sebagai Madrasah @ kursus untuk melahirkan jadi diri yang baru setelah begitu banyak kursus yang kita ikuti dari PBC,PIC,Herbalis mahupun KPJ itu sendiri..Pengarahnya ialah tuhan sendiri,Jawatankuasanya ialah malaikat,modulnya Puasa,Qiam,Quran,Sedeqh,Zikr dan lain-lain dan pangkat yang akan dianugerahi ialah "Muttaqin" dimana insentif yang akan diperolehi terlalu lumayan dan tidak tergambar oleh fikiran kita...Ya Allah bantulah kami menjadi pengemis cintaMu yang setia...

Monday, July 12, 2010

Hayatilah Islam itu seluruhnya


Bismillah...

Dari hari ke hari program demi program penerangan kita anjurkan demi mencari dan melahirkan prospek dan pejuang-pejuang baru..Tentu sahaja pelbagai kreativiti kita gunakan untuk menarik minat audien..Tahukah kita bahawa cara terbaik dalam memikat hati mad'u ialah dengan "lisanul hal"iaitu penghayatan dan perlaksanaan diri terlebih dahulu..

Penghayatan yang ana maksudkan ialah penghayatan islam dalam diri secara menyeluruh,meliputi aspek akidah,akhlaq,perjuangan,ekonomi,ibadah mahupun aspek halal& haram dalam pemakanan.

Jujurnya ana sebutkan bahawa kita masih bimbang kerana ramai di kalangan kita hanya memfokuskan pada halal& haram pemakanan.Bagaimana aspek-aspek yang lain?Janganlah kita menjadi si buta yang berkeras menyifatkan gajah itu umpama tiang lantaran yang dia pegang dan yakini itulah gajah adalah hanya kakinya sahaja..
Mengajak prospek agar meninggalkan produk haram memanglah sudah menjadi tanggungjawab kita,tapi problemnya prospek juga terlihat aspek lain pada diri kita yang belum seatle.Ada Fasi PBC kekadang menyetujui ceramah ana kerana menyentuh soal halal&haram dari aspek pakaian kerana katanya,sudah jadi buah mulut masyarakat awam mengatakan sesetengah fasi berposing dengan posing yang tak se"joing" dengan perjuangan HPA itu sendiri..Fesyen yang lebih kepada mencari glamour..

Ingatan buat diri ana dan teman-teman sekalian"Akhirat nanti bilamana kita mengadap Allah dengan membawa timbunan amal,tiba-tiba amal itu dibuang-jauh oleh Allah...kenapa?kerana rupanya di dunia dulu kita menumpang cari manafaat peribadi atas amal yang sepatutnya khas untuk Allah semata-mata"...Maksud firman Allah"Dan tidak mereka itu diperintah melainkan supaya mengabdikan diri kepada Allah seikhlas-ikhlasnya..."

Saturday, July 3, 2010

BERHATI-HATI SEDARI AWAL

Bismillah...
Salam kemaafan kerana begitu lama tidak menulis di ruangan ini..Alhamdulillah Allah menyampaikan kami berdua ke Bumi NabiNya (Makkah & Madinah) beberapa ketika lalu..(Ya Allah hatiku terharu bahawa engkau kabulkan impianku untuk datang kembali ke sana kira-kira 6 tahun yang lepas)...Teman-teman ingatlah kejayaan kita dalam dunia MLMS ini benar-benar dipengaruhi oleh cita-cita dan impian,oleh itu tanamkan cita-cita yang baik dari sekarang untuk kejayaan di hari depan.

Sekadar kongsi kebimbangan buat rakan-rakan sekelian,Ingatan Nabi Alaihissalam"Demi Allah tidak aku bimbang keadaan kamu dalam kemiskinan,tapi yang benar-benar merisaukan aku ialah kamu akan berdepan dengan kekayaan dunia sepertimana golongan terdahulu yang punah dan berpecah serta berbunuhan kerana dunia yang memukau..."
Tak salah kita berusaha untuk berbonus besar tapi yang salahnya ialah niat kita.kenapa kita ingin kaya?untuk masyhur?untuk mewah?atau lain-lain niat yang membahayakan diri kita sendiri.

Semasa susah memang belum nampak implikasi niat ini,tapi bilamana sedikit-demi sedikit kita tersilau dengan wang bonus yang besar maka ketika itu akan menonjollah sifat sebenar kita,mula ego,payah dinasihati,belanja melebihi keperluan bahkan yang lebih kronik kita mula menjauhkan diri dari masjid dan masyarakat awam.

Semasa Tsa'labah meminta nabi berdoa agar dia menjadi seorang kaya,nabi menyebutkan lebih baik lah engkau miskin tapi istiqamah dengan ajaran agama daripada engkau jadi kaya tapi mula menjauhi agama...

Moga rakan-rakan melakarkan seberapa segera niat dan cita-cita yang baik sedari awal sebelum Allah menguji kita dengan hartanya...

Thursday, April 8, 2010

INGATAN BUAT TEMAN_TEMAN

Bismillah...
Dalam perjuangan ini jangan sama sekali kita bermimpi sesuatu yang mustahil..Apa yang mustahil itu?Mengharapkan agar perjuangan yang suci lagi benar kerana Allah itu menguasai seluruh manusia hingga tiada lagi seteru atau penentang..Harapan sebegitu samalah seperti mengharapkan pertukaran malam dan siang itu terhenti hanya kepada malam sahaja atau siang sahaja.
Selagi ada pertukaran malam dan siang maka selagi itulah pejuang kebenaran akan berdepan dengan seteru dan musuh.
Apa yang kita boleh harapkan? Harap dan bekerjalah untuk mencari dan melahirkan seramai mungkin teman sejati secara istiqamah dan mengikut lumrah para pejuang terdahulu.
Dari sudut yang lain jangan sama sekali kita melontarkan batu besar ke dalam tasik nanti akan melahirkan gelombang atau tempias air yang akan membasahi diri kita sendiri.Bertindak bijak adalah suatu asas dalan pelan perjuangan kita.Jangan sama sekali kita membiarkan diri menjadi pemusnah kepada perjuangan ini. INGAT NIAT YANG BAIK TIDAK CUKUP, MELAINKAN PERLU JUA KEPADA LANGKAHAN YANG BIJAK.
Siang dan malam hendaklah sentiasa merapati diri kepada Allah agar semua tindak tanduk kita diredhainya serta diberkati selalu olehNYA.
"Wahai tuhan sesungguhnya aku sentiasa bekerja siang dan malam dalam dakwah mu ini,namun mereka bukan semakin dekat kepada ku,tapi sebaliknya semakin jauh..Mereka menutupkan telinga mereka dari mendengar.."(Keluhan dari hati seorang Nabi)-amatilah selalu.

Monday, April 5, 2010

Bismillah..
Sudah lama tak menekan keybord ini,maaf kelemahan sendiri tidak patut membantutkan kepesatan perjuangan.Namun sehari-hari akal ini sering mencari idea untuk dikongsi rakan dan teman semua tapi buntu jua.
Sebagai mujahid IBHAM kita harus memiliki daya kawalan diri yang tinggi hingga teman-teman lain dapat menghidu inspirasi dari kita.Percayalah ukhuwah yang kita bina bukan hanya untuk bisnes tapi untuk kelangsungan perjuangan hingga ke akhirat.
Sering benar ana mengingatkan untuk melengkapi perjalanan ini,kita mesti sentiasa mencari idea untuk membuat perubahan dalam diri."Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib kita sehinggalah kita sendiri memulakan perubahan pada diri kita sendiri"
Memiliki karisma dan kaliber sebagai pejuang IBHAM bukan hanya manafaatnya untuk peribadi tetapi bahkan ianya adalah untuk perjuangan Agama Allah jua."Sesungguhnya solat,ibadat,hidup dan matiku adalah untuk Allah semata-mata."
Abu Bakar yang berjiwa korporat memanafaatkan bakatnya untuk mencari prospek agama Allah di kalangan korporat,Usman yang berketurunan bangsawan memanafaatkan kebangsawanannya untuk membesarkan jaringan Agama Allah,Umar yang tangkas dan berani memanfaatkan ketangkasan dan keberaniannya untuk membentengi Agama Allah...Maka kita yang memiliki apa yang kita miliki dalam IBHAM ini jua sepatutnya hanya untuk NYA...
Tiada guna memiliki jaringan perniagaan yang besar jika kita tidak menjuruskan mereka untuk menjadi Ansarullah..
Kerana itu biarpun dunia juhala' memandang sebelah mata kepada perjuangan ini,jangan berkecil hati,jangan menoleh kebelakang tapi terus istiqamahkan diri sambil memohon taufiq dari NYA agar semua harakaat kita menjadi amal untuk agama yang kita sayangi.

Friday, February 5, 2010

Halawatul iman impian bersama

Bismillah...
Rakan IBHAM yang dikasihi...antara amalan yang rutin dalam perjuangan ini adalah zikir mathurat,semua harus sudah mengingatinya dalam minda.Jangan pilih yang ringkas bilamana mengamalkannya secara berseorangan.
Amalkan dengan konsisten jua bersama hati yang jernih dan badan yang suci dari produk haram dan syubhah.
Amalan yang berterusan itu pasti membuahkan kesan yang menakjubkan dan yang lebih penting peribadi kita akan terbina selaras dengan apa yang kita minta dalam mathurat itu.Umpamanya bila kita menghayati doa ini"Ya Allah kami berlindung denganmu dari sifat penakut dan bakhil.."apa yang kita minta ialah nak mengikis perasaan takut pada makhluk dan kikir dari menyumbang pada orang lain apatah lagi pada perjuangan Allah..
Marilah kita berbai'ah dengan diri sendiri untuk tidak akan meninggalkan mathurat ini seumur hidup kita hingga kembali kita pada Allah..Allah akan campakkan satu nikmat yang hebat yang disebut "Halawah" atau kemanisan Iman..
Sabda Nabi yang bermaksud"Tiga perkara bilamana ketiga-tiga ini terhimpun dalam diri seseorang akan dia mengecap kemanisan Iman:
1-Kasihkan Allah dan Rasul melebihi dari segala-galanya
2-Bersahabat dengan teman-teman kerana Allah semata-mata
3-Benci kepada kekufuran sepertimana tidak inginnya dia terhumban kedalam api.
Berusahalah rakan-rakan untuk kita semua meraih janji Allah, bukan untuk dunia tetapi untuk persiapan kita untuk hari kembali ke sisi Allah..Doakan agar tidak seorangpun rakan IBHAM terkecuali dari anugerah ini.Jadikan sabda nabi ini sebagai suatu cabaran "Tidak sempurna iman sesiapapun di kalangan kamu melainkan kamu mengasihi saudaramu sebagaimana kasihmu pada diri sendiri."

Sunday, January 24, 2010

Fahami erti Perjuangan

Bismillah...
Biasa kita mendengar ungkapan "HPA adalah suatu perjuangan" dan sememangnya kita telah mengharunginya.Sedarkah kita apa yang dikatakan perjuangan?
Kekadang orang memahami erti perjuangan menurut perspektif peribadi serta menurut aklinya semata-mata.
Pemahaman kita terhadap perjuangan sewajarnya sama dengan perjuangan yang diertikan oleh agama..kalimah perjuangan menurut wahyu adalah "Jihad" iaitu memerah seluruh tenaga,masa dan harta untuk mencapai matlamat meninggikan kalimah Allah supaya tinggi daripada segala-galanya.
Terlibat dalam perjuangan ertinya tidak boleh main-main,acuh tak acuh atau mengikut mood kerana Allah menyaksikan semua tingkah laku kita dan dinilai untuk mengetahui siapa yang benar siapa yang bohong dalam iqrar syahadahnya.
Kita tidak boleh hanya berfikir "apa keuntungan yang kita dapat" sahaja tetapi yang mesti kita fikir "apa yang kita kena beri" untuk perjuangan ini.
Lama mana masa kita kena peruntukkan untuk perjuangan ini?Agama menegaskan "Dan sembahlah (berbaktilah) kepada tuhan hingga datang kepada engkau keyakinan (kematian).
Apa bekalan yang diperlukan dalam perjuangan ini?Quran perlu diadakan kekuatan dalam saff perjuangan itu sendiri.Dan ulama menafsirkan kekuatan itu pada 3 unsur penting "Aqidah,Ukhuwwah dan kebendaan @ kemahiran"
Siapa model kita untuk menjiwai perjuangan ini?Nabi-nabi,sahabat dan salafussoleh terdahulu.
Kesimpulannya setiap kita mesti memuhasabahkan diri sepanjang perjalanan ini kerana Syaitan sering saja kreatif untuk memesongkan kita agar tidak ramai yang berjaya keluar dari dunia ini sebagai Hamba Allah sebaliknya mereka keluar dan mengadap Allah sebagai hamba nafsu,hamba makhluk dan hamba Taghut...Waliazubillah..

Sunday, January 17, 2010

Sama-sama kita merenungi sajak ini;
Kita sebenarnya memilih jalan ini
kerana kita sangat pasti
jalan kita...
jalan kebenaran
jalan kita...
jalan perjuangan
bukan hanya bicara laba untuk dunia
yang lebih penting sebuah persiapan ke sana...

Persinggahan ini cuma sebentar
mungkin lebih pendek dari sehela nafas
tapi perjalanan sangat panjang
kerana penghujungnya juga tidak kelihatan...

Tersisih dari golongan kita
mereka yang ingin mencipta di atas hasil yang segera
sudah pasti sama sahaja
liku, lurah dan gunung
perlu dahulu dilaluinya...

Jika kita berhenti
pastikan untuk sekadar sahaja
hilang lelah... teruskan
meskipun kaki luka dan berdarah...

Inilah jalan kita...
yang menuntut seribu kekuatan di jiwa
jangan biarkan lemah menguasai diri
bangunlah berdiri dengan berani
sekali kita rebah...
seribu tahun kita akan terus berlari...

Cari penilaian Allah


Bismillah...
Aqidah adalah suatu anugerah mutlak dari Allah Taala yang tiada tolok banding nilainya..Dengan aqidah yang sahihah sahaja menjadikan segala perbendaharaan amal kita diambil kira dan mendapat nilaian Allah.Sekiranya aqidah tiada @ tidah sahihah nescaya hampa lah kita meskipun datang mengadap Allah dengan timbunan amal yang tinggi.
Semua Rakan Ibham wajib memastikan aqidah masing-masing sahihah melalui kehadiran ke kuliah-kuliah,mendekati ulama (yang menjadi cermin hidup kita) mahupun melalui pembacaan dan penelitian yang mendalam.
Menyedari peri pentingnya Aqidah ini,sewajarnya kita berfikir secara serius bagaimana untuk memperkasakannya sentiasa jua mempertahankannya dari luntur @ tercabut.Ambil iktibar dari kisah-kisah Quran seperti Bal'am Bin Ba'ura dan sebagainya.
Meneliti kisah Ashabul Kahfi,kisah tujuh rakan pemuda yang ditidurkan Allah selama 309 tahun kerana semata-mata mempertahankan Aqidah terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil.
-Bagaimana mereka sanggup bercerai tanggal dari kemewahan demi semata-mata mencari keredhaan Allah.Bersediakah kita menuruti mereka?
-Betapa mereka mempergunakan akal mereka semaksimanya untuk sampai kepada mengenali Allah.Kenapa kita tidak berdaya upaya untuk memanafaatkan akal untuk perkara yang sama?
-Perhatikan apa ucapan mereka ketika terasa lapar setelah bangkit dari tidur yang panjang.."...Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perak ini, dan hendaklah dia melihat manakah makanan yang lebih baik.."Sedarkah kita dari pemakanan memberi kekuatan @ sebaliknya boleh memberi kelemahan kepada kekuatan aqidah.
Akidah yang sahihah pasti akan memberi kesan kepada perilaku kita sebagaimana perumpamaan Allah.."Dan perumpamaan kalimah yang baik (Kalimah Tauhid) seumpama pohon yang baik (Subur dan rimbun),akarnya menunjang bumi manakala dahannya meninggi ke langit,sentiasa ia membuahkan hasil.."
Moga keterlibatan kita dalam perjuangan ini adalah kesan dari kita memilii aqidah yang sahihah @keterlibatan kita dalam perjuangan ini akan mencabar kita untuk berusaha memiliki aqidah yang sahihah.
"Wahai tuhan!jangan engkau palingkan hati kami setelah engkau menganugerahkan hidayah kepada kami,sesungguhnya engkau tuhan maha pemberi kurnia.."